Thursday, July 5

Malam Nisfu Sya'aban

Dalam kalendar Islam bulan kedua selepas Rejab ialah bulan Sya'aban. Yang istimewanya bulan ini adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Kita sebagai hamba Allah SWT secara amnya patut tidak melepaskan peluang yang Allah SWT kurniakan pada hambaNya untuk membersihkan jiwanya. 

Beberapa ahli bijaksana berpendapat bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk memohon keampunan daripada segala dosa manakala bulan Sya'aban pula untuk memperbaiki diri daripada segala cela dan khilaf seterusnya pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa mereka.

Nisfu Sya'aban adalah hari kelima belas dalam bulan Sya'aban setiap tahun Hijrah (Kalendar Islam). Justeru itu, umat Islam percaya yang pada malam Nisfu Sya'aban, amalan akan dibawa naik oleh para malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.

Rasulullah SAW pernah bersabda.. " Apabila tiba malam Nisfu Sya'aban, maka hendaklah kalian bangun pada malamnya untuk melakukan ibadat dan berpuasa pada siangnya, ini kerana Allah SWT turun merahmati hamba-hambanya pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah SWT berfirman " Adakah dari kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Ku ampunkannya. Adakah dari kalangan mereka yang memohon rezeki, maka akan Ku turunkan rezeki untuknya. Adakah dari kalangan mereka yang ditimpa bala, maka akan Ku sejahterakannya. Adakah dari kalangan mereka yang begini dan adakah dari kalangan mereka yang begini sehinggalah terbit Fajar." 

Begitu utuhnya kasih sayang Allah SWT terhadap kita. Begitu tulusnya cinta Allah SWT ke atas hambaNya. Betapa ikhlasnya kasih sayang serta cintaNya kepada kita semua umat Islam. Tetapi sejauh manakah utuhnya, tulusnya dan ikhlasnya kasih sayang serta cinta kita kepadaNya..? Mungkin kita terlalu alpa untuk mengingatiNya. Terlalu leka dan juga terlalu lalai. Tapi mulai saat ini marilah kita semua bertekad untuk tidak lepaskan peluang seperti Malam Nisfu Sya'aban. Dan jadi hambaNya yang terbaik di kalangan terbaik. Mudah-mudahan. Amin Ya Rabal Amin..

0 comments:

 

Blog Template by YummyLolly.com